MOHAMAD SABU
MOHAMAD SABU 

Menurut Mohamad, ketika Dewan Rakyat bersidang baru-baru ini, kumpulan ahli politik terbabit dilihat seolah-olah hanya ghairah mahu membangkitkan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) semata-mata.

Katanya, golongan ‘lebai’ berkenaan bukan sahaja tidak mengendahkan kes rasuah dan penyelewengan yang memang terang-terangan merugikan negara, malah berkawan pula dengan pihak yang dituduh terlibat dalam kes salah laku tersebut.

“Saya hairan kenapa ‘lebai-lebai’ tidak menjadikan rasuah sebagai isu utama? Saya duduk dalam Parlimen dan perhati, rupanya dia nak tunggu bercakap tentang LGBT sahaja. Alah, siapa pula antara kita yang bersetuju dengan LGBT ni? 

“Tapi hal rasuah, hal penyelewengan tak pula jadi isu kepada golongan agamawan, ini persoalan yang timbul.. bahkan berkawan pula. Mula-mula sembunyi lama-kelamaan semakin ternampak,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan 2018, di sini hari ini.


Dalam sidang akhbar selepas itu, Mohamad tidak menjelaskan siapa ‘lebai’ yang dimaksudkan dan hanya memberitahu, fenomena ‘agamawan’ memandang ringan isu rasuah dan penyelewengan bukan hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya turut melanda negara Islam yang lain.

“Saya fikir inilah sebab gerakan Islam di seluruh dunia dan negara-negara Islam menjadi sangat lemah kerana rasuah dan penyelewengan pemimpin tidak dijadikan isu utama.. wang negara tidak dibelanjakan dengan betul,” katanya

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, jumlah keahlian Amanah Kelantan semakin memberangsangkan, iaitu kira-kira 2,000 ahli baharu mendaftar pada setiap bulan di seluruh negeri ini.

Kata beliau, perkara itu merupakan satu petanda baik kepada Amanah yang bertekad mahu merampas negeri ini daripada penguasaan Pas dalam pilihan raya umum akan datang. - UTUSAN ONLINE