Ia seolah-olah satu isyarat bahawa kenaikan tarif air sehingga 20 peratus lebih tinggi bagi pengguna di Pulau Pinang tidak dapat dielakkan lagi.

Tambahan pula, tindakan menaikkan kadar tarif air itu ‘direstui’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar juga membayangkan kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara ber­peringkat tahun ini.

Walaupun jaminan diberikan bahawa kenaikan tarif air itu tidak akan membebankan rakyat namun ia seperti kata-kata seorang peniaga kedai runcit di Kampung Sungai Koyan 1, Cameron Highlands, Pahang yang tular baru-baru ini, Rahana Hassan, yang berbunyi - kalau buat surat ‘lawyer’ boleh, kalau cakap mulut sahaja tak percaya.

Bagaimana rakyat mahu percaya kenaikan tarif air tidak akan menambah beban memandangkan sejak dahulu, seolah-olah sudah menjadi trend apabila berlaku kenaikan tarif air atau tarif elektrik secara automatik harga barangan keperluan termasuk makanan serta minuman akan turut dinaikkan.

Tambah memburukkan keadaan ada pula peniaga yang mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan tarif air sudah naik sebagai alasan untuk mengaut keuntungan berganda.

Secara tidak langsung kesan kenaikan harga itu pastinya akan ditanggung oleh pengguna terutama golongan berpendapatan rendah (B40) yang semakin terhimpit dengan pelbagai kenaikan kos barangan setelah pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dijalankan.

Pengguna hanya dapat menikmati penurunan harga barangan dengan sebentar selepas pelaksanaan kadar sifar peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 Jun lalu namun selepas tempoh itu tamat harga barangan kembali mencanak naik.

Sebenarnya apa yang amat rakyat mahukan dalam tempoh ini ialah harga barangan keperluan yang stabil, bukannya diuji dengan satu lagi kenaikan tarif air.

Kerajaan negeri dan kerajaan Pusat kini berada dalam satu gabungan yang sama dan sewajarnya sebarang kenaikan melibatkan tarif air atau elektrik yang akan membawa kesan domino terhadap masyarakat ditangguhkan.

Takkan pada zaman pemerintahan yang dikuasai gabungan PH ini rakyat masih perlu memerli kerajaan dengan kata-kata ‘hujan sahaja yang turun’ seperti dahulu. - UTUSAN ONLINE