Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya akan memasukkan usaha memerangi gejala buli itu dalam kempen kesedaran mengenai Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 dan jenayah seksual.

“Kita mahu segala tindakan diambil ke arah menghentikan amalan buli ini dengan penalti yang seberat-berat mungkin.

“Ini bukan bertujuan semata-mata menghukum, tetapi mencegah perlakuan seperti ini daripada terus berulang,” katanya kepada pemberita selepas melawat mendiang T. Nhaveen di Krematorium Batu Gantung, di sini hari ini.

Nhaveen, 18, yang dibuli dan dipukul sehingga mengalami kecederaan parah oleh sekumpulan remaja awal pagi Sabtu lalu di Jalan Kaki Bukit, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 6 petang semalam.

Menyentuh mengenai kejadian menimpa Nhaveen, Rohani berkata, kementerian telah menghantar pasukan kaunseling untuk bertemu ahli keluarga mangsa namun pada masa perlu memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan kes berkenaan.

“Saya sedih dan bersimpati dengan keluarga mangsa, seolah-olah individu yang melakukannya dikuasi dendam dan dirasuk ketika melakukan perbuatan berkenaan, aspek ini yang akan kita kaji untuk cari kaedah tanganinya,” katanya. - UTUSAN ONLINE