Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan membincangkan cadangan itu di peringkat Kabinet supaya dapat digerakkan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, usaha itu perlu menjadi keutamaan melihat kepada statistik kes keracunan produk bahan kimia yang dirujuk kepada Pusat Racun Negara antara 1994 hingga tahun lalu yang mana 93 peratus daripada lebih 50,000 kes berkenaan berlaku di rumah.

Daripada jumlah itu juga, tambahnya, 46 peratus adalah kes keracunan tidak sengaja membabitkan kanak-kanak berumur antara satu hingga sembilan tahun manakala 54 peratus melibatkan produk pencuci dan peluntur.

Katanya, statistik itu sekali gus menunjukkan pemahaman yang silap dalam kalangan orang ramai sebelum ini yang menyangka kes keracunan sedemikian banyak berlaku di kilang atau ladang.

"Sehubungan itu, saya berasakan kempen ini wajar diperluas sehingga ke peringkat nasional supaya masyarakat lebih sedar dan berhati-hati berhubung bahaya keracunan bahan kimia khususnya di rumah masing-masing," katanya.

Beliau ditemu pemberita selepas merasmikan program Kempen Kediaman Selamat peringkat negeri ini di pekarangan Masjid Al-Huda, Sungai Ara, Bayan Lepas di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, beliau juga akan berbincang supaya program itu kelak turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan termasuk kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta komuniti masyarakat setempat. - UTUSAN ONLINE