Menurut kementerian, beberapa topik berkaitan usul dan cadangan turut diterima daripada pemain industri termasuklah mengenai peningkatan produktiviti komoditi, isu tenaga buruh, mekanisme dan automasi serta, Revolusi Industri 4.0.

Kementerian itu juga telah menerima beberapa cadangan bagi pengecualian cukai berganda dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam beberapa perkara melibatkan pembungkusan produk komoditi, promosi penggunaan biodiesel dan produk industri kenaf.

“Sebagai contoh, antara yang diusulkan oleh pemain industri adalah beberapa insentif bagi menggalakkan aktiviti nilai tambah kepada produk berasaskan getah,” menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Sesi Konsultasi Bajet 2019 itu dipengerusikan oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok, yang juga melibatkan 180 wakil industri mengumpulkan lebih 30 usul dan cadangan, selain 119 usul serta cadangan dalam bentuk bertulis untuk diangkat sebagai pertimbangan di dalam bajet tahun depan.

Menurut kementerian itu, topik berhubung pembangunan modal insan dalam sektor komoditi, kemampanan dan kelestarian industri komoditi, sumber bahan mentah yang mencukupi, gaji minimum, promosi dan perdagangan, keselamatan makanan (food safety) dan hala tuju polisi turut diutarakan.

Pihak kementerian akan mengangkat keperluan hala tuju polisi industri komoditi yang lebih komprehensif melalui konsultasi Bajet 2019 yang dianjurkan itu kepada Kementerian Kewangan. - UTUSAN ONLINE