Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, tahap piawaian tersebut akan merangkumi aspek keselamatan dan keselesaan pengguna di terminal bas utama setiap negeri.

“Kerajaan persekutuan kini sedang membangunkan kerangka piawaian yang mempunyai kualiti terminal bas setanding dengan lapangan terbang atau Terminal Bersepadu-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS).

“Sebagai contoh, pembelian tiket melibatkan semua syarikat bas akan disediakan secara berpusat (centralise) dan terminal bas menyediakan kemudahan asas termasuk bilik menyusu, surau dan tandas dan restoran yang selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas membuat tinjauan di Terminal Melaka Sentral sebelum mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri Melaka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Mohd. Sofi Abdul Wahab serta Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pelaksanaan piawaian itu nanti bagaimanapun akan dilakukan secara berperingkat bergantung kepada keupayaan kewangan setiap negeri.

“Kita tidak boleh mendesak semua negeri melaksanakan kerangka ini secara menyeluruh kerana kos pembaikan bergantung kepada peruntukkan kerajaaan negeri masing-masing,” katanya.

“Setakat ini hanya beberapa buah negeri yang mempunyai keupayaan kewangan untuk melaksanakan kerangka tersebut termasuklah Pulau Pinang, Perak dan Melaka,” katanya. - UTUSAN ONLINE