Kementerian itu dalam satu kenyataan di sini memaklumkan, penangguhan itu dibuat ekoran lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ke pelabuhan Johor Bahru lalu seperti yang dinyatakan Singapura melalui Nota Diplomatiknya, Jumaat lalu.


“Bagaimanapun Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan berjumpa dengan rakan sejawat iaitu Menteri Pembangunan Singapura, Lawrence Wong serta Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan bagi membincangkan isu dua hala yang lain antara Malaysia dan Singapura. 


“Ini menunjukkan bahawa hubungan antara kedua-dua negara masih kukuh,” katanya.


Semalam sebuah portal berita Singapura melaporkan, lima kapal Malaysia didakwa memasuki perairan Tuas, Singapura.


Portal berkenaan turut menyiarkan beberapa gambar ihsan daripada Pasukan Polis Singapura yang menunjukkan kapal dinaiki rombongan Osman ketika membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman.


Dalam pada itu kenyataan itu turut menjelaskan, pertemuan itu nanti diyakini akan membentuk langkah positif yang seterusnya selepas pertemuan mereka pada 8 Januari lalu.


Ketika ini tegasnya, kedua-dua negara bersetuju untuk tidak mensensasikan perkara berkenaan sekali gus yakin momentum penglibatan antara Malaysia dan Singapura ketika ini akan diteruskan dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala berdasarkan kesaksamaan dan saling menghormati. - UTUSAN ONLINE