Tersebar dalam media sosial hari ini sepucuk surat daripada Kementerian Kewangan yang meluluskan pelaksanaan perolehan secara rundingan terus Kementerian Dalam Negeri dengan syarikat Motorola Solutions Malaysia Sdn. Bhd. (MSMSB).

Tangkap layar surat kelulusan Kementerian Kewangan
Tangkap layar surat kelulusan Kementerian Kewangan 

Ia berhubung kontrak perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti bagi peralatan infrastruktur, server, perisian dan radio pengguna Sistem Royal Malaysia Police Net (RMPNET) untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Surat bertarikh 28 Mac 2019 itu dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan ditujukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Menurut surat yang disebarkan oleh pengguna Twitter, Azmanhaj itu, Kementerian Kewangan tidak meluluskan permohonan Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan perolehan tersebut secara rundingan terus dengan MSMSB bagi tempoh lima tahun dengan anggaran kos sebanyak RM380 juta.

Namun begitu, Kementerian Kewangan bersetuju supaya Kementerian Dalam Negeri diluluskan untuk melaksanakan perolehan berkenaan secara rundingan terus dengan syarikat MSMSB bagi tempoh satu tahun sahaja dengan anggaran kos sebanyak RM56.3 juta supaya sistem RMPNET tersebut tidak terjejas.- UTUSAN ONLINE.