Tindakan itu dilakukan sekumpulan petugas kementerian dari Putrajaya kira-kira pukul 3 petang tadi dan mereka turut mengarahkan kakitangan pusat perubatan itu mengosongkan premis berkenaan.

Pengerusi pusat itu, Datin Chua Lay Ping berkata, beliau dimaklumkan oleh petugas kementerian terbabit mengenai perkara itu dan terkejut kerana tiada notis awal diberi kepada pihak pengurusan pusat berkenaan.

"Pasukan itu memberitahu mereka hanya melaksanakan tugas untuk menutup kedua-dua pusat itu. Mereka juga memaklumkan kakitangan kami bahawa mereka tidak perlu datang bekerja esok kerana premis tersebut telah diarah menghentikan operasi.

"Saya akan membuat laporan polis kerana tidak diberitahu lebih awal tentang tindakan ini," katanya di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan mengarahkan pusat perubatan itu menghentikan operasinya selepas semua pakar perubatan meletakkan jawatan pada November tahun lalu ekoran gaji mereka tidak dibayar.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 2006, setiap perkhidmatan perubatan yang disediakan oleh kemudahan penjagaan kesihatan swasta mesti mempunyai ketua pakar dan perubatan untuk beroperasi.

Walaupun diberi tempoh dua bulan, pihak pengurusan gagal menyelesaikan isu tersebut menyebabkan lesen pusat perubatan itu ditarik balik pada 12 Januari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini menyatakan kerajaan negeri sedia mengambil alih pusat yang memiliki kemudahan 89 katil dan 57 kakitangan itu, namun masih menunggu maklum balas kementerian berkenaan. - UTUSAN ONLINE