Noor Hisham Abdullah
Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka yang disabitkan kesalahan menjual air zamzam boleh dikenakan denda tidak me­lebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Sejak 2012 sehingga Oktober ini, sejumlah air zamzam bernilai RM58,191.80 telah dirampas melalui hasil pe­nguatkuasaan yang telah di­jalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, perkara itu telah dipersetujui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memandangkan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zamzam berdasarkan Seksyen 4 (1) (f) Akta Makanan 1983.

Noor Hisham berkata, air zamzam diperoleh dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semula jadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Maka­nan 1985.

“Pengimportannya memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” jelas beliau.

Katanya, kerajaan Arab Sa­udi hanya membenarkan pengedaran air zamzam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad selepas berlepas dari Arab Saudi.

“Kementerian sedang me­­ning­katkan tindakan pe­nguatkuasaan ke atas pen­jualan air zamzam me­mandang­kan ia tidak dibenarkan di Malaysia,” katanya.

Kepada pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai isu ber­kenaan, Noor Hisham berkata, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq. – BERNAMA