Laporan tersebut menyatakan pihak SFA telah mengarahkan produk AMB tersebut ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria pseudomonas aeruginosa.

Produk AMB yang terlibat berisipadu 1,500ml dan 500ml dengan tarikh akhir masing-masing pada 13 dan 11 Mei 2021.

Bakteria pseudomonas aeruginosa adalah sejenis bakteria yang terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan dan tanah.

Bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah.

Namun, produk makanan yang dicemari bakteria ini jarang memberikan kesan kesihatan kepada individu yang sihat.

Hasil verifikasi oleh kementerian melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati kilang yang menghasilkan produk tersebut melaksanakan program jaminan keselamatan makanan dan mematuhi keperluan pelesenan punca air minuman yang ditetapkan oleh pihaknya.

Kementerian Kesihatan mengesahkan produk AMB jenama Starfresh hanya dipasarkan ke Singapura dan tidak dijual di pasaran tempatan.

Walau bagaimanapun, kementerian sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca pencemaran sepertimana yang dilaporkan sebelum tindakan lanjut diambil.

Kementerian juga ingin menegaskan produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian juga sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna serta sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk-produk makanan di pasaran tempatan termasuk produk AMB.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. - BERNAMA