Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyifatkan kejadian itu sebagai paling menyedihkan berkata, siasatan yang melibatkan pihak sekolah dan berkuasa itu dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

"Ini peristiwa yang amat malang berlaku dalam kawasan sekolah melibatkan kontraktor pembersihan sekolah dan pelajar di Negeri Sembilan.

"Jadi, saya minta supaya satu siasatan penuh dijalankan tentang bagaimana keadaan (pembersihan) ini boleh berlaku sewaktu raptai hari sukan sekolah. Siasatan ini antara pihak berkuasa dan sekolah.

"Jadi tengok dulu laporan yang akibat kematian seorang dalam masa terdekat ini selesai,” katanya, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi tadi itu, Nur Afini Roslan, 14, maut di tempat kejadian selepas terkena bilah besi pemotong rumput yang melayang dipercayai ketika kerja pembersihan dilakukan di kawasan itu.

Dua lagi pelajar Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera dan telah menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gemas.

Beliau pada masa yang sama mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan.

Mahdzir juga meminta kontraktor yang dilantik oleh pihak sekolah selepas ini lebih peka dan mematuhi aspek keselamatan sebelum melakukan kerja pembersihan. - UTUSAN ONLINE