Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, ini ber­dasarkan respon dan pemerhatian yang dibuat olehnya da­lam tempoh tersebut me­nunjukkan telur mengalami kenaikan harga yang lebih tinggi berban­ding 30 produk utama lain yang dikecualikan cukai tersebut.

Bagaimanapun bagi produk utama yang lain, antaranya, minyak dan tepung menyaksikan harga yang masih stabil dan tiada banyak perbezaan, ujar beliau.

“Jadi, kita berharap dapat memanggil pembekal-pembekal ini dan berbincang de­ngan mereka supaya jalan penyelesaian dapat dicari untuk mengelakkan kenaikan harga yang lebih tinggi.

“Dalam masa sama, kami juga mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk membantu kami (kementerian) sekiranya terdapat peniaga menaikkan harga barang secara melampau supaya langkah penguatkuasaan menjadi lebih efisien,” kata­nya selepas perasmian pusat pengagihan segar GCH Retail (M) Sdn. Bhd. (GCH) di sini hari ini.

Yang turut ha­dir, Pengerusi GCH, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar; Pengarah Urusannya, Pierre-Olivier Deplanck dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Jamil Salleh.

Baru-baru ini, dalam satu temu bual, Saifuddin menga­kui harga telur gred B dan C meningkat selepas SST dilaksanakan.

Telur gred tersebut merupakan antara 25 barangan ha­rian yang paling banyak dibeli oleh pengguna di pasar raya di seluruh negara.

Mengenai status Kedai Rak­yat 1Malaysia, beliau ber­kata, kementerian akan melancarkan semula inisiatif tersebut yang ketika ini mempunyai 51 kedai yang dikendalikan menerusi dua rakan niaga.