Mengulas laporan berkaitan penahanan seorang lelaki autistik berusia 22 tahun baru-baru ini, Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditemui pemberita selepas melancarkan Taska [email protected], sebuah pusat penjagaan kanak-kanak, di ibu pejabat AirAsia di sini berkata, perlu ada lebih pemahaman mengenai penyakit autisme dan kesannya terhadap diri seseorang.

"Ibu kepada tertuduh telah menenjelaskan bahawa tertuduh mempunyai keupayaan mental seorang kanak-kanak berusia 13 tahun. Kita patut menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk memahami keadaan penderita penyakit autisme (dan kesannya) apabila kanak-kanak itu menjadi dewasa," kata beliau.

Laporan sebelum ini menyebut seorang lelaki autistik telah ditahan (kerana disyaki mencabul kehormatan seorang wanita) berikutan laporan yang dibuat terhadapnya oleh mangsa pada 11 Sept.


Polis telah memohon perintah mahkamah untuk menahan reman lelaki itu untuk membantu siasatan kes berkenaan tetapi ditolak oleh mahkamah di Petaling Jaya pada 12 Sept.


Dia disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Mengulas satu kes lain, iaitu mengenai perkahwinan yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan bawah umur di Kelantan seperti yang dilaporkan hari ini, Dr Wan Azizah berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menghantar pegawai-pegawainya untuk berjumpa dengan kanak-kanak perempuan itu dan ibu bapanya.

Beliau juga berkata kerajaan kini dalam proses untuk menaikkan had umur kelayakan untuk berkahwin kepada 18 tahun.

"Kita perlu memperhalusi perkara itu, (dan) kita (juga) mempunyai mahkamah syariah, yang juga perlu patuh kepada undang-undang dan peraturan berkenaan. Ini disebabkan kita juga perlu mematuhi undang-undang yang terpakai di negeri-negeri," kata beliau.

Media hari ini melaporkan mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun yang telah berkahwin dengan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berusia 44 tahun, yang juga bapa kepada dua orang anak. Kanak-kanak perempuan itu dikatakan menjadi isteri kedua lelaki tersebut.

Perkahwinan itu dikatakan telah mendapat kelulusan Mahkamah Syariah. Majlis akad nikah pasangan itu berlangsung di Masjid Kampung Laut di Tumpat pada Julai lepas.

Menurut ibu bapanya, kemiskinan keluarga mendorong mereka untuk mengahwinkan anak perempuan bongsu mereka itu kepada lelaki tersebut yang 29 tahun lebih tua daripada anak mereka.- BERNAMA