Hakim Datuk Azimah Omar yang membuat keputusan itu turut mengarahkan pilihan raya kecil diadakan serta-merta di kerusi DUN yang dimenangi Timbalan Presiden UMNO itu tanpa bertanding pada 28 April lalu.

Keputusan itu dibuat selepas beliau mendengar hujah peguam pempetisyen iaitu calon PKR bagi DUN Rantau, Dr. S. Streram dan peguam mewakili Mohamad dalam perbicaraan yang berlangsung selama 12 hari.

Streram memfailkan peti­syen pada 23 Mei lalu bagi mencabar keputusan kerusi DUN tersebut selepas beliau gagal mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding apabila dihalang masuk ke pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau pada 28 April lalu.

Beliau menamakan Moha­mad yang juga calon Barisan Nasional (BN) sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus Pi­lihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) responden ketiga.

Dalam penghakimannya, Ha­kim Azimah berkata, tindakan menghalang Streram adalah ti­dak munasabah dan tiada undang-undang pilihan raya yang menyatakan calon, pencadang dan penyokong memerlukan tag nama dan pas masuk untuk mengemukakan pencalonan.

Beliau berkata, perkara itu disahkan sendiri oleh peguam responden kedua dan ketiga dalam hujah bertulisnya.

“Mahkamah membenarkan petisyen yang difailkan pempetisyen dan memutuskan Mohamad tidak dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau dan pemilihannya itu adalah tidak sah dan batal. (Jawatan ADUN) tidak patut dikembalikan dan PRK DUN Rantau diadakan serta-merta,” katanya.

Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar Ne­geri Sembilan diwakili lima peguam diketuai Datuk Mohd. Hafarizam Harun, manakala Dr. Streram diwakili empat peguam diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Dalam penghakiman selama lebih satu jam itu, hakim berkata, halangan terhadap pempetisyen untuk mengemukakan borang pencalonan menyebabkan Mohamad menang tanpa bertanding sekali gus menafikan hak lebih 20,000 pengundi untuk mengundi.