Pemantauan yang dilakukan oleh Persatuan Penggerak Pengguna Johor (PPPJ) di pasar tersebut mendapati kenaikan harga ikan yang begitu ketara dan membebankan pengguna.

Menurut Ketua Perhubungan Awam dan Media PPPJ, Subhi Saad, peniaga didapati menjual ikan kembung pada harga yang sangat tinggi iaitu RM19 berbanding RM12 sekilogram sebelum ini, manakala harga ikan lain memperlihatkan kenaikan sehingga RM2 sekilogram.

"Harga sayur-sayuran juga meningkat. Cili merah yang lazimnya dijual sekitar RM8 meningkat kepada RM14 sekilogram, manakala sayur lain turut meningkat RM3 hingga RM4.

"Harga yang diletakkan terlalu mahal menyebabkan rata-rata pembeli mengeluh. Apa yang dirisaukan adalah kenaikan ini akan terus kekal," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Subhi memberitahu, peniaga di pasar tersebut berani bertindak demikian kerana kebanyakan pelanggan mereka terdiri daripada warga Singapura.

Masalah yang timbul, kata Subhi, penduduk tempatan turut dikenakan dengan harga yang sama, sekali gus menambah beban kos sara hidup mereka.

"Kami berharap Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan kepada peniaga yang terlibat," ujarnya.