Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, sudah tiba masanya negara-negara ASEAN mengembangkan idea dan pemikiran supaya penggunaan bahasa Melayu menjadi fokus dan diguna dalam setiap persidangan.

Menurut beliau, MABBIM telah memainkan peranan dari semasa ke semasa supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa utama untuk berkomunikasi, namun mereka sudah perlu bergerak agar idea pemerkasaan bahasa Melayu diperhebatkan.

"Sebagai contoh, pemimpin-pemimpin negara ASEAN boleh memberi ucapan dengan memulakannya dengan penggunaan bahasa Melayu dan diaplikasikan dalam majlis makan malam.

"Selain itu, mereka boleh menggunakan bahasa Melayu dalam urusan surat-menyurat. Kita jangan menunggu dan perlu jadikan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi," katanya ketika berucap dalam majlis Perasmian Pertemuan Dunia Melayu 2017 anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena).

Pertemuan Dunia Melayu 2017 yang diadakan di Bangkok, Thailand turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Thailand, Yayasan Pusat Islam Thailand(FICT) dan Universiti Kasem Bundit, Bangkok.-UTUSAN ONLINE