Difahamkan, cuaca panas menyebabkan paras air sungai surut, sekali gus menjejaskan operasi pam Kemubu yang berfungsi mengairi kira-kira 24,374 hektar tanaman padi di bawah Kada di seluruh negeri ini.

Antara kawasan yang terjejas sehingga ada sawah padi kering-kontang ialah di kawasan Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok

Pemangku Pengurus Besar Kada, Nik Roslan Idris berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab, Kada telah mengambil beberapa inisiatif bagi mengatasi masalah tersebut.

Katanya, antara inisiatif yang telah diambil ialah membina sistem perpaipan sepanjang 450 meter untuk menyalurkan air ke bendang yang terjejas teruk.

"Ia melibatkan dua kawasan iaitu di Kampung Gua dan Kampung Betong dengan kos keseluruhan bernilai hampir RM100,000.

"Selain itu, kita juga sediakan pam 'backward', membina tiub telaga dan bantuan diesel bagi kawasan yang berisiko kering untuk mencegah tanaman padi menjadi rosak, " katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan tersebut, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nik Roslan menafikan laporan sebuah media arus perdana yang mendakwa Kada lepas tangan terhadap isu ketiadaan air di Mukim Salor.

"Saya kesal dengan laporan itu kerana sebanyak 77 buah telaga tiub telah dibina di kawasan terbabit oleh pihak Kada sendiri termasuk 180 buah pam 'backward' turut diagihkan bertujuan membantu mereka yang terjejas.

"Kawasan itu juga termasuk dalam kawasan Kota Bharu Utara telah menerima bantuan diesel di setiap pam membabitkan petani berjumlah 250 orang," ujarnya. -UTUSAN ONLINE