Mohamad Lazim Jusoh, 62, berkata, sejak dua tahun lalu, anaknya, Ummi Azlim, 35, yang ditahan kerana didapati bersalah menyeludup dua kilogram heroin itu tidak menghantar surat atau menghubunginya melalui telefon.

“Dua tahun lepas Umi Azlim ada menghubungi saya menerusi panggilan telefon yang turut didengari oleh ahli keluarga sempena perayaan Tahun Baharu Cina. Selepas perbualan itu kami terus terputus hubungan. Itu kali pertama dan terakhir kami bercakap melalui telefon. Saya tidak tahu lagi apa jadi pada dia.

“Sebelum itu, dia akan menghantar surat kepada saya dalam bahasa Inggeris atau Mandarin walaupun tidak kerap tetapi ada sekurang-kurangnya sekali setahun untuk kami sekeluarga tahu keadaannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ummi Azlim dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana didapati bersalah menyeludup dadah pada usia 23 tahun pada 2007.

Anak sulung daripada enam beradik itu pada mulanya dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-Undang Jenayah Guangzhou republik itu bagaimanaun selepas rayuan dibuat hukuman itu diturunkan.

Katanya, sebelum Ramadan lalu, Wisma Putra telah mengubunginya untuk membawanya mengunjungi anaknya di Penjara Guangzhou namun tawaran tersebut terpaksa ditolak.

“Mereka hanya membantu untuk peroses perjalanan namun semua kos perlu ditanggung oleh saya sendiri. Saya tidak mampu, saya tidak ada duit. Saya cuma harapkan pencen askar RM1,500 sebulan.

“Kali ini, saya merayu kepada Wisma Putra melalui Kedutaan Malaysia di China untuk membantu saya menghubungi Umi Azlim sempena Aidilfitri ini. Kami sekeluarga bimbang keadaannya. Kami amat rindukannya,” katanya.

Mohamad Lazim berkata, dia juga memerlukan bantuan daripada kerajaan untuk mendapatkan status sebenar tempoh hukuman yang perlu dilalui anaknya sama ada sehingga berusia 46 atau lebih awal daripada itu.

“Saya keliru dengan pengurangan tempoh hukuman yang dikaitkan dengan proses pengampunan. Tanpa bantuan Wisma Putra, kami hanya mampu menunggu suratan takdir,” katanya. - UTUSAN ONLINE