Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, notis pengosongan premis dikeluarkan sejak 2 Disember la­lu dan tidak sepatutnya timbul masalah kepada peniaga untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, sejak tarikh itu juga, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diarah supaya tidak mengeluarkan lesen untuk sebarang perniagaan berkaitan vape.

“Tidak sepatutnya timbul masalah dalam isu ini, peniaga mempunyai tempoh sebulan untuk bertindak mengosongkan premis masing-masing dan mereka juga sepatutnya mengambil langkah lebih awal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan lebih 350 peniaga rokok elektronik atau vape dijangka me­nga­lami kerugian kira-ki­ra RM50 juta ekoran keputusan Kerajaan Pas Kelantan mengharam­kan penjualan bara­ngan tersebut di negeri ini berkuat kuasa awal tahun depan.

Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Malaysia (PPVMM) Kelantan, Mohd. Azlee Che Mohd. Zaid berkata, kerugian berlaku kerana ahli-ahlinya mengeluarkan modal yang tinggi mencecah ratusan ribu ringgit untuk memulakan perniagaan tersebut.

Justeru, Mohd. Azlee yang mewakili ahli pertubuhan itu merayu kepada Kerajaan Pas Kelantan supaya mengkaji semula keputusan untuk mengharamkan penjualan vape di negeri ini demi kelangsungan hidup mereka.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri tetap de­ngan keputusan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di Kelantan berkuat kuasa 1 Januari ini meskipun mendapat tentangan pelbagai pihak.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri masih terbuka untuk menga­dakan perbincangan dengan peniaga vape di negeri ini bagi menyelesaikan sebarang perkara berbangkit.

“Kita akan mengadakan perjumpaan dengan peniaga vape ini pada minggu depan. Kita akan tengok pandangan dan cadangan mereka untuk mengatasi isu ini, Insya-Allah akan ada jalan keluar.

“Kita jamin akan memberi pembe­laan kepada para peniaga dan sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah tertentu, kita sentiasa terbuka untuk berbincang,” katanya.