Menurut Husam, pembelian kenderaan tersebut dipercayai dibuat pada tahun ini dan perkara itu menimbulkan persoalan memandangkan keadaan kewangan kerajaan negeri ini adalah tidak begitu memberangsangkan.

“Setakat saya tahu, kenderaan rasmi pegawai tinggi negeri adalah Proton Perdana. Adakah Kelantan negeri yang kaya sehingga Proton Perdana perlu digantikan dengan kereta Mercedes-Benz?

“Adakah ini boleh dikatakan satu perbelanjaan berhemah?” katanya dalam sidang akhbar ketika menghadiri Jamuan Rakyat Sempena Awal Muharam di Kubang Kerian, di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai pembelian kenderaan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Husam turut mempertikaikan tindakan kerajaan Pas Kelantan menaikkan gred gaji seorang pegawai tinggi negeri sehingga Turus 3 memandangkan gred tertinggi di negeri-negeri lain, termasuk negeri yang lebih ‘kaya’ hanya di tahap Jusa.

Secara tidak langsung katanya, Kelantan perlu mengeluarkan belanja lebih bagi membayar gaji terbabit sedangkan negeri ini merupakan antara dua negeri yang memohon defisit perbelanjaan mengurus.

“Sebab itu saya cadangkan Pusat arahkan supaya audit terperinci dibuat terhadap wang peruntukan yang kita salurkan kepada Kelantan.

“Kerajaan negeri tidak perlu takut jika mereka tidak salah guna peruntukan dan jika semua selari dengan tujuan asal makan Pusat boleh teruskan beri peruntukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE