Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pindaan itu terkandung dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017).

“Sehingga kini belum diwartakan lagi, pindaan sudah dibuat di sidang DUN tahun lalu. Sebelum ini, hukuman sebat hanya berlangsung di dalam penjara atau kamar hakim sahaja.

“Dalam perbincangan kita, hukuman sebat itu boleh dilakukan di dalam dewan tertutup, kawasan masjid dan stadium. Hukuman secara terbuka itu juga bertujuan menimbulkan rasa gerun masyarakat terhadap kesalahan jenayah dan bukannya menyeksa pesalah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Hududullah di Dataran Bandar Raya, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 merupakan bahagian teknikal kepada pelaksanaan hukuman yang terkan¬dung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (2015) yang mana kesalahan-kesalahan melibatkan hukuman sebat di bawah enakmen tersebut ialah zina, liwat, qazaf (menuduh zina atau liwat) dan minum arak.

Selain membolehkan hukuman sebat di tempat terbuka yang diwartakan oleh kerajaan negeri, pindaan enakmen itu juga membabitkan pindaan kepada 33 fasal lain. - UTUSAN ONLINE