Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) , Mejar Jeneral Toh Choong Siang berkata, langkah tersebut akan menghasilkan penambahbaikan dan transformasi dalam mengatur gerak operasi sebagai satu ketumbukan serantau.

Katanya, platform itu juga dapat menguji doktrin prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan antara kedua ketumbukan.

“Tiga objektif utama ditetapkan adalah bagi menguji fungsi pemerintah dan pegawai staf diperingkat batalion infantri serta pasukan bantuan dalam operasi gabungan berpandukan Protap Malindo.

“Meningkatkan keupayaan kedua-dua pihak bagi melaksanakan operasi dalam konteks peperangan konvensional disamping tingkat tahap kerjasama termasuk hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pembukaan Eksesais Kekar Malindo Siri 42AB/2018 di Padang Kawad Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kem Muara Tuang sebentar tadi.

Yang turut hadir, Panglima Kodam IV/Mulawaran, Mayor Jeneral TNI Subiyanto; Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Yonny Tri Prayitno; Panglima Briged Ketiga Infantri, Brigedier Jeneral Mohd. Bustaman Mat Zin dan Komandan Briged Infantri 24 Bulungan Cakti, Kol. Infantri Jones Sasmita Muliawan.

Eksesais itu diadakan selama 14 hari bermula 9 September lalu dijalankan sejak 1976 merupakan salah satu aktiviti bilateral secara timbal balas setiap tahun. - UTUSAN ONLINE