RAZALI ISMAIL

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang juga bekas Duta Khas Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Tan Sri Razali Ismail berkata, usaha tersebut dilihat mampu menjadi satu penyelesaian yang praktikal kepada kemelut status pemilikan Baitulmuqaddis.

“Jika negara Islam lain turut membina pejabat kedutaan ma­sing-masing di Baitulmuqaddis Timur, hal ini menunjukkan kita serius serta bersedia mempertahankan Baitulmuqaddis dan ini merupakan satu usaha yang bijak.

“Kerajaan Malaysia juga boleh menyokong usaha Turki dengan turut membina pejabat kedutaan di Baitulmuqaddis Timur,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan untuk membuka pejabat kedutaannya di Baitulmu­qaddis Timur, beberapa hari selepas pemimpin negara-negara Islam mengiktiraf Baitulmuqqadis sebagai ibu negara Pa­lestin.

Gesaan itu dibuat pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki susulan pengumuman Pre­siden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel yang baharu pada 6 Disember lalu.

Syed Hamid Albar
SYED HAMID ALBAR

Sementara itu, bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar berkata, pengumuman yang dibuat Turki itu dilihat mampu menjadi penggerak dan pendorong kepada negara Islam untuk terus mempertahankan Baitulmuqaddis daripada diiktiraf AS menjadi ibu negara Israel.

“Pengumuman Presiden Turki itu menunjukkan negara Islam amat memandang serius terhadap isu ini. Tindakan ini bukanlah untuk menentang AS, tetapi bagi mempertahankan hak rakyat Palestin dan umat Islam keseluruhannya.

“Jadi saya rasakan tindakan Turki itu adalah bijak dan seluruh umat Islam perlu memberikan sokongan padu kerana ini juga merupakan soal kedaulatan dan maruah umat Islam,” katanya yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.