Kedutaan tersebut menaikkan gambar Nisha memegang Jalur Gemilang di Facebook dan Instagram.

"Gambar mempunyai seribu pengertian namun tindakan mengatasi segalanya. Kami berdiri teguh bersama pemenang Pingat Keberanian Wanita Antarabangsa 2016 Nisha Ayub dan Pang Khee Teik serta segala kerja yang mereka lakukan. #Toleransi dan #penerimaan," tulis kapsyen pada gambar tersebut.

Nisha dan Khee Teik sebelum ini menjadi perhatian apabila gambar mereka diturunkan daripada Festival Georgetown yang berlangsung sejak 4 Ogos hingga 2 September depan.

Gambar kedua-dua aktivis yang dikaitkan dengan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) diturunkan atas arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa selepas menerima aduan daripada orang awam serta tidak selari dengan dasar kerajaan.-UTUSAN ONLINE