Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, walaupun belum wujud sesuatu konflik di dalam masyarakat tetapi ia tidak mustahil berlaku jika perkara itu gagal dibendung daripada sekarang.

Kata beliau, ini termasuk pertikaian pihak-pihak tertentu terhadap hak-hak istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu dan agama Islam.

“Jika perkara ini terzahir daripada baginda (Tuanku Syed Sirajuddin), lebih-lebih lagi ketika kita menyambut Bulan Kebangsaan, sudah tentu ia menunjukkan sesuatu yang serius.

“Harus diingat bahawa perkara-perkara asas dalam Perlembagaan adalah kontrak sosial yang dipersetujui pemimpin terdahulu untuk memberi kemerdekaan kepada tanah Melayu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Pentadbiran Wanita UMNO Bahagian Kangar yang dihadiri oleh seramai 189 orang di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan Ketua Wanitanya, Azihani Ali.

Azlan diminta mengulas titah Tuanku Syed Sirajuddin semasa Sambutan Hari Kebangsaan 2018 Peringkat Negeri di sini, kelmarin, yang menzahirkan rasa bimbang baginda terhadap suara-suara ‘sumbang’ yang mempertikaikan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan.

Azlan seterusnya menegaskan bahawa sekiranya perkara asas dalam Perlembagaan terus dipertikaikan, ia akan ‘menjemput’ reaksi dan kemarahan oleh kumpulan lain.

“Akhirnya, segala pembangunan yang dibina, perpaduan dan keharmonian antara kaum akan musnah sekelip mata,” katanya.

Beliau sehubungan itu mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dan berhemah dalam membuat sebarang tuntutan kerana untuk membina sebuah negara sehingga kini adalah lebih sukar berbanding merosakkannya. - UTUSAN ONLINE