Baginda bertitah dalam konteks tugas mulia itu, tahap daya juang yang unggul dalam kalangan anggota keselamatan khususnya tentera perlu dibina di samping dapat mempamerkan ''Akal Budi Ketenteraan'' atau ''Military Mind'' yang sentiasa profesional.

"Saya gembira kerana anggota-anggota keselamatan di perairan pantai timur Sabah melaksanakan tugas-tugas dengan tahap profesionalisme yang membanggakan...saya berharap tahap cemerlang ini mampu ditingkatkan lagi pada masa hadapan," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada majlis berbuka puasa di Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah dekat sini, sempena program jalinan kasih kerajaan negeri Perlis ke Sabah (Op Pasir) 2017, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Komander Angkatan Tentera Bersama 2 (ATB 2), Brig Jen Zarondin Md Amin, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah angkatan tentera merupakan elemen ''cegah rintang'' bagi sesebuah negara daripada sebarang bentuk ancaman luar dan boleh disifatkan sebagai insurans kepada keselamatan negara.

"...dan elemen ini perlu dipermodenkan atau dipertingkatkan keupayaannya berpandukan ancaman semasa, perkembangan teknologi serta corak peperangan masa kini.

“Justeru, kita semua harus menerima hakikat bahawa institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan peruntukan kewangan yang setimpal dengan peranan dan tanggungjawabnya dalam menentukan keselamatan dan kedaulatan negara," titah baginda.

Sementara itu, titahnya pengalaman di Lahad Datu memberi banyak pengajaran yang harus diambil iktibar dan menjadi panduan oleh setiap warga ATM supaya tidak leka dalam menjalankan tugas.

"Perlu waspada pada sepanjang masa dan melaksanakan tugas dan kewajipan seperti mana yang telah diamanahkan atau dipertanggungjawabkan dengan setulus, seikhlas dan seberani mungkin," titah baginda lagi. -BERNAMA