Beliau berkata kanak-kanak tersebut ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, selepas dipindahkan dari Hospital Kuala Krai (HKK) sejak Ahad lepas.

“Saya amat berpuas hati dengan rawatan rapi yang diberikan oleh pihak hospital kepada kanak-kanak ini dan juga saya juga kagum dengan komitmen dan rawatan serta ‘personal care’ yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kanak-kanak tersebut dan bapanya, Rosli a/l Jong, 30, yang turut ditempatkan di hsopital berkenaan sejak Ahad lepas selepas disyaki menerima jangkitan pneumonia.

Hadir sama Pengarah HRPZII Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Mengulas lanjut, Waytha Moorthy berkata Rosli akan dibenarkan keluar dalam tempoh terdekat selepas menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

“Rosli akan ditempatkan lebih dekat dengan anaknya selepas dibenarkan keluar selepas ini,” katanya sambil menambah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka melawat kawasan perkampungan Orang Asli Kuala Koh di Gua Musang esok.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan dua daripada 14 kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dalam tempoh sebulan lepas berpunca daripada radang paru-paru, namun punca sebenar kematian akan diketahui hanya setelah beberapa ujian yang dilakukan selesai dalam masa terdekat.

Masalah kesihatan yang melanda penempatan Orang Asli Suku Batek itu menyaksikan seramai 99 penduduk dirawat dengan empat daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini. - BERNAMA