Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohamed Farid Md. Rafik berkata, keadaan Muhammad Adib yang paling baik setakat ini namun masih dikategorikan dalam keadaan kritikal memandangkan dia masih memerlukan sokongan mesin.

“Masuk hari ketujuh, saya difahamkan keadaan Muhammad Adib bertambah baik tapi memerlukan masa yang lama untuk sembuh memandangkan kecederaan yang dialami serius.

"Saya ingin menyampaikan hasrat keluarga Muhammad Adib yang berharap agar beberapa rakan rapatnya dapat datang melawat dan memberikan sokongan moral. Tetapi ia bergantung kepada kebenaran pihak IJN ,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN), di sini hari ini.

Turut hadir meluangkan masa melawat Muhammad Adib adalah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Mohd. Hatta Ramli.  

Mohamed Farid memaklumkan, ketika mula-mula Muhammad Adib sedarkan diri, anggota bomba daripada Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu agak terkejut namun kini emosinya semakin stabil.

“Keadaan fizikal Muhammad Adib yang cergas selain usia yang masih muda mempercepatkan proses penyembuhan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE