Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat berikutan pembentangan Nota Jemaah Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertajuk Inisiatif Pelaksanaan Bagi Mengurangkan Kesesakan Di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI dan KSAB.

Menurut kementerian itu, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu juga memutuskan pihak kementerian diberi tangungjawab sebagai Urus Setia Jawatankuasa Khas manakala Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan di peringkat negeri dibubarkan.

"Mesyuarat juga bersetuju untuk mewujudkan Jawatankuasa Kecil dianggotai oleh beberapa menteri dan wakil kerajaan negeri Johor yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri untuk menyusuli dan memperhalusi inisiatif-inisiatif yang disyorkan.

"Semua inisiatif pelaksanaan yang telah dikenal pasti adalah hasil dapatan melalui sesi libat urus seperti bengkel, perbincangan dan mesyuarat penyelarasan di peringkat kementerian, jabatan dan agensi berkaitan," kata kementerian itu dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut kementerian itu, antara inisiatif segera yang dipertimbangkan bagi menangani kesesakan itu adalah dengan meluluskan peruntukan khas dan tambahan bagi BSI dan KSAB, mengkaji kewujudan satu badan tunggal mengawal sempadan negara dan pintu-pintu masuk termasuk pelabuhan-pelabuhan.

Jelasnya, inisiatif segera itu antara lain turut mengecualikan dasar kawalan pengisian bagi perjawatan di pintu masuk kepada pengisian penuh dan mengadakan kajian bagi mengenal pasti isu, cabaran serta hala tuju untuk keperluan kapasiti penggunaan masa hadapan.

Dalam pada itu katanya, mesyuarat itu turut bersetuju untuk memperhalusi beberapa syor lain yang telah dibangkitkan oleh ahli-ahli jwatankuasa khas antaranya melebar dan memanjangkan Tambak Johor, membina laluan pejalan kaki berbumbung, membina laluan kapal serta memperbesarkan kompleks pintu masuk.

“Mesyuarat turut menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi bekerjasama menjayakan inisiatif-inisiatif yang diperakukan ke arah mencari penyelesaian terhadap isu kesesakan di kedua-dua pintu masuk Tambak Johor,” kata kementerian terbabit.-UTUSAN ONLINE