Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan tersebut akan diusulkan secara bersama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memandangkan ia berada dalam bidang kuasa kementerian tersebut.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dengan tawaran itu. Sebagai menteri, saya amat bersetuju kerana daripada dahulu kita menginginkan sebuah universiti sukan. Tiada masalah diwujudkan di Terengganu jika ada tawaran tanah, cuma untuk pembinaan perlu datang daripada KPT," katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan pelajar dalam Siri Jelajah Transformasi Nasional 2050 (TN50) Peringkat Zon Timur di Dewan Aspirasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, malam tadi.

Terdahulu, dalam sesi berkenaan Ahmad Razif telah menawarkan tapak di Taman Ilmu Tembila, Besut untuk dijadikan lokasi pembinaan universiti tersebut memandangkan ia telah dilengkapi bangunan serta kemudahan infrastruktur untuk tujuan itu.

"Kami sudah ada sekolah sukan di sini, jadi elok benar kalau ada universiti sukan pula. Saya menawarkan Taman Ilmu di Tembila, Besut sebagai universiti sukan pertama di Malaysia," katanya dengan disusuli tepukan gemuruh mereka yang hadir.

Pembinaan Universiti Sukan pertama itu merupakan satu daripada cadangan yang dilontarkan oleh Mohd Rafi Kori, 37, apabila menyatakan aspirasinya menjelang 2050.

Selain itu, Khairy turut menyatakan kekagumannya dengan impian anak muda yang hadir tertutama kalangan rakyat Terengganu yang mahu melihat negeri itu menjadi maju dan membangun pada masa depan.

Katanya, aspirasi mereka bukan setakat pembangunan ekonomi dan pendidikan tetapi juga tentang keadaan sekeliling yang sesuai dengan apa yang telah ada di negeri ini termasuk perikanan, litar permotoran dan penguasaan bahasa Inggeris. - BERNAMA