MAHDZIR KHALID

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau sedar sukar untuk memperkenalkan sesuatu yang baharu namun pada abad ke-21 ini masyarakat perlu ber­ubah dan mempu­nyai pemikiran baharu terutama dalam bidang pendidikan.

Malah kata beliau, KBAT telah lama dilaksanakan di negara-negara maju di mana masyarakatnya tidak lagi terlalu bergantung kepada sistem peperiksaan semata-mata.

“Saya mempunyai keyakinan rakyat negara ini boleh membantu Kementerian Pendidikan dalam menjayakan KBAT tetapi ia merupakan satu proses yang panjang untuk dilaksanakan.

“Kita tidak perlu takut dan merasa rendah diri dengan hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan malah kita perlu ada sema­ngat yang kuat untuk melangkah menjadi sebuah negara maju,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Rahemah Idris dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Menurut Mahdzir, Kementerian Pendidikan turut menganjurkan bengkel yang melibatkan ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memberi pemahaman kepada mereka mengenai KBAT.

“Penerapan KBAT di dalam sistem pembelajaran masa kini memerlukan pemahaman dan sokongan semua pihak.

“Sebab itu dianjurkan bengkel terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang turut di­sertai ibu bapa bagi memastikan mereka memahami apa itu KBAT dan mengubah pemikiran mereka mengenai pendidikan,” ujarnya.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga menyedari bahawa demografi negara ini berada dalam empat kategori iaitu pelajar di bandar, pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman.

Oleh itu, kata beliau, guru hendaklah membuat pengubahsuai­an kaedah pengajaran dengan mengambil kira demografi pelajar dan para guru juga perlu krea­tif serta berinovasi untuk mengajar menggunakan kaedah yang disesuaikan dengan persekitaran.