Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, cu­baan menyeludup itu melibatkan 1,020 keping matawang dolar Taiwan denominasi NT$1,000 bernilai lebih kurang NT$1.02 juta atau kira-kira RM136,502.94.

“Wang tunai berkenaan dalam bentuk beberapa ikat diisi ke dalam patung beruang bersaiz kira-kira 50 sentimeter sebelum dijahit dari luar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut menahan dua lelaki warga Nigeria berumur 29 dan 30 tahun kerana gagal mengikrar wang tunai bernilai lebih AS$10,000 yang dibawa.

Sementara itu, Subromaniam berkata, pihaknya juga berjaya menahan dua wanita warga India kerana menyembunyikan dadah methamphetamine dalam bekas bedak untuk diseludup masuk ke negara ini.

Beliau berkata, suspek yang merupakan pasangan adik-beradik itu ditahan pasukan penguatkusaan JKDM di KLIA2 sejurus tiba dari Chennai, India pada pukul 7.30 pagi, 4 Januari lalu kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap dua bagasi milik mereka menemukan bekas bedak yang mengandungi 10.50 kilogram (kg) methamphetamine dianggarkan bernilai RM735,000.

“Walaupun kedua suspek menyorokkan barangan terlarang itu bagi mengaburi pihak berkuasa, kita berjaya mengesan perbuatan mereka.

“Pasangan adik-beradik sudah dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan,” katanya.

Pada masa sama, Subromaniam turut memaklumkan, pi­haknya juga berjaya mematahkan satu lagi kes penyeludupan dadah jenis sama membabitkan seorang lelaki warga India yang tiba dari Thiruchirapalli di KLIA pada 11 Januari lalu.

Tambahnya, lelaki itu ditahan selepas pemeriksaan terhadap se­buah kotak dibawa suspek me­ngandungi bahan terlarang sebe­rat 5.20 kg dengan nilai anggaran berjumlah RM364,000 yang disorokkan dalam dapur masak.

“Menerusi pembongkaran kes-­kes ini yang berlaku dalam dua minggu pertama tahun ini membuktikan JKDM amat serius me­merangi kegiatan penyeludupan dadah.

“Kami akan terus mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan dadah di pintu masuk negara dengan kerjasama pelbagai pihak berkuasa,” ujarnya.