Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, tiada isu perpecahan di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam isu penyebaran video intim yang didakwa turut melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Jelasnya, apa yang sedang dihadapi oleh Mohamed Azmin itu mestilah disimpati oleh semua pihak, oleh itu program pemukiman yang bakal diadakan hujung minggu ini boleh menjadi ruang penjelasan kepada semua pertikaian yang timbul.

“Pergolakan? Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata tiada pergolakan, kita ada ‘retreat’ minggu ini. Kita kasihan dekat Azmin, dia tengah tertekan.

“Biar saya beritahu mereka yang menandatangani surat dan kenyataan itu, kata Deng Xiaoping (bekas pemimpin China) ‘sembunyikan kekuatan anda, biar masa menentukan’ (hide your strength, bide your time),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berhubung video intim yang melibatkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz itu adalah tulen, Shamsul Iskandar meminta supaya perkara itu dirujuk kepada Ketua Polis Negara.

“Kena tanya Ketua Polis Negara, saya tak tengok lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE