Sejak anaknya disahkan mengidap kanser berkenaan, Mohd. Bukhori Md. Yatim, 41, mengambil keputusan itu bagi menjaga Fatimah Azzahra yang kini berusia enam tahun, manakala isterinya pula menggalas tanggungjawab mencari nafkah sebagai seorang guru.

Ternyata, dalam tempoh empat tahun ini, Mohd. Bukhori menyimpan banyak kenangan bersama anak kelima daripada tujuh beradik itu yang dijangka mampu bertahan melawan penyakit berkenaan hanya dalam masa enam bulan lagi, iaitu sehingga Ogos depan.

FATIMAH AZZAHRA MOHD. BUKHORI
FATIMAH AZZAHRA MOHD. BUKHORI 

Kata Mohd. Bukhori, anaknya disahkan menghidap leukemia ketika berusia dua tahun tujuh bulan sebelum kanak-kanak itu melalui pelbagai rawatan, pembedahan serta kimoterapi di sebuah hospital di Pulau Pinang.

Katanya, sepanjang tempoh rawatan, dia banyak menghabiskan masa sama ada di hospital atau di rumah mereka, di Changlun, Kedah bagi menjaga anaknya itu.

Menceritakan kisah penyakit anaknya, Mohd. Bukhori berkata, mereka sekeluarga pernah dimaklumkan doktor bahawa Fatimah Azzahra bebas daripada penyakit tersebut selepas melakukan pemindahan tulang sumsum di hospital di Kuala Lumpur.

“Walau bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila kanak-kanak berkenaan disahkan kembali mengidap leukemia sejak dua bulan lalu dan kini hanya mampu terlantar di hospital.

“Fatimah Azzahra dikatakan hanya mampu bertahan dalam tempoh enam bulan sahaja lagi. Dia kini hanya bertahan dengan antibiotik dan ubat tahan sakit sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Bukhori, sejak anaknya disahkan menghidap penyakit itu, dia seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan dan setiap hari menangis.

Namun katanya, apa yang berlaku itu adalah takdir yang telah ditentukan oleh Allah dan memberi kekuatan kepadanya untuk terus menjaga anaknya itu sehingga ke hujung nyawa.

“Daripada seorang kanak-kanak riang, Fatimah Azzahra kini hanya mampu terlantar. Saya terima takdir-Nya, Allah SWT adalah sebaik-baik perancang.

“Meskipun tiada lagi gaji selepas berhenti kerja, namun Allah bagi lebih baik daripada itu, banyak rakan-rakan membantu dan paling penting, banyak masa saya bersama Fatimah Azzahra,” katanya.

Sementara itu, bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban kanak-kanak ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 114075797339 milik Mohd. Bukhori dan beliau boleh dihubungi di talian 019-2583984 untuk sebarang pertanyaan lanjut. - UTUSAN ONLINE