AZHAR DARUS
AZHAR

STB yang merupakan sekolah Melayu pertama ditubuhkan di Perlis dibina pada tahun 1888 dengan nama asalnya Sekolah Melayu Arau.

Dalam meraikan sambutan 130 tahun penubuhannya, sekolah berkenaan bakal mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya akan menganjurkan Karnival Sambutan 130 Tahun STB iaitu pada 17 dan 18 Ogos ini.

Karnival dua hari pada Jumaat dan Sabtu itu akan bermula pukul 9 pagi sehingga 11 malam dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung khususnya alumni sekolah tersebut.

Lebih istimewa, karnival tersebut akan dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga alumni sekolah berkenan pada 18 Ogos, kira-kira pukul 11 pagi.

Antara aktiviti menarik disediakan pada program tersebut ialah pameran atau galeri mengenai sejarah STB; mini zoo; jualan makanan serta minuman; jualan barangan keperluan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA); jualan pakaian; pelbagai permainan untuk kanak-kanak; santai anak seni; pertunjukkan bunga api dan pelbagai lagi aktiviti menarik.

Guru Besar STB, Azhar Darus memberitahu, program tersebut diadakan bagi menyingkap kembali sejarah penubuhan sekolah tersebut yang sudah memasuki tahun ke-130.

Dalam masa sama beliau berkata, pihaknya juga mahu mengumpulkan alumni sekolah tersebut seterusnya diraikan dalam majlis itu.

"Saya percaya karnival ini bakal menjadi sesuatu yang diingati oleh alumni-alumni sekolah ini. Inilah masa untuk mereka berkumpul dan bertemu rakan-rakan seterusnya mengeratkan hubungan silaturrahim," katanya, di sini hari ini.

Serentak dengan itu, tambah Azhar, pihaknya juga akan melancarkan tabung derma untuk pembinaan surau di sekolah tersebut. - UTUSAN ONLINE