Mohd. Akashah Azizan
 

Arzizul Abdul Rahman, 35, berkata, sepupunya, Mohd. Akashah Azizan, 25, juga sempat membuat rakaman ‘live’ dalam Facebook pada Sabtu lalu ketika sedang berlayar di atas kapal.

Katanya, Mohd. Akashah yang rapat dengannya mula bekerja dalam sektor perkapalan sejak tiga tahun lalu dan amat meminati pekerjaan itu.

“Saya mendapat berita berkenaan kejadian ini kira-kira pukul 10 pagi tadi daripada keluarga dan memandangkan saya tinggal paling dekat saya ke sini untuk mengetahui situasi sebenar.

“Mohd. Akashah berasal dari Changloon, Kedah dan kini berpangkalan di Singapura serta belum mendirikan rumah tangga. Ahli keluarga kini hanya mendoakan beliau selamat,” katanya ketika ditemui di pusat operasi di Pantai Leka, sebentar tadi.

Arzizul berkata, ahli keluarga mangsa termasuk ibunya dalam perjalanan ke Muar bagi mengetahui lebih lanjut operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Sementara itu, video siaran langsung yang dilakukan Mohd. Akashah selama 1.25 saat memaparkan pemandangan dipercayai dari atas kapal JBB RONG CHANG 8.

Pada akhir video itu, Mohd. Akashah dipercayai mengungkap perkataan ‘cemuih’ dalam loghat Kedah yang bermaksud bosan. - UTUSAN ONLINE