Kampus tersebut merupakan yang pertama dibuka Universiti Limkokwing di Sierra Leone dan di rantau Afrika Barat.

Presiden Sierra Leone, Dr. Ernest Bai Koroma berkata, sistem pendidikan tinggi Malaysia yang dibawa Universiti Limkokwing akan memberi perubahan besar dalam sosioekonomi masyarakat di negaranya termasuk dalam bidang teknologi kreatif.

“Saya berharap Universiti Limkokwing kampus Sierra Leone berupaya mentransformasikan golongan muda di negara ini agar mereka menjadi modal insan berkaliber,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan kampus berkenaan.

Yang turut hadir Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing.

Universiti Limkokwing kampus Sierra Leone mula mengambil pelajar pada Disember 2013 namun terpaksa menangguhkan operasi pada Mac 2014 berikutan wabak virus Ebola yang mengancam nyawa pelajarnya.

Kini, kampus berkenaan mem­punyai 1,100 pelajar sejak beroperasi semula pada Julai tahun lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesejnya sempena perasmian kampus itu mengucapkan setinggi tahniah kepada Kok Wing atas pembukaan kampus tersebut.

Najib pada masa sama turut melahirkan keyakinan dengan komitmen Universiti Limkokwing dalam memberi pendidikan terbaik untuk mentransformasikan ekonomi negara-negara Afrika.

“Universiti ini bukan sahaja memberi kesan mendalam dalam industri inovasi dan teknologi di Malaysia malah mendapat penghormatan dari seluruh dunia melalui sistem pendidikan tinggi Malaysia yang dibawanya di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Kok Wing berkata, kemahiran baharu se­perti membangunkan kan­dungan, inovasi produk dan keusahawanan yang dipelajari generasi muda di Sierra Leone akan membantu mereka dalam usaha membentuk masa depan negara berkenaan.

“Negara ini mempunyai ramai tenaga muda yang positif dan berpotensi besar, jadi saya berharap dengan pembukaan kampus ini sedikit sebanyak menyumbang kepada pembangunan Sierra Leone serta melahirkan lebih ramai golongan muda berkualiti,” katanya.