Dalam nada tegas, bekas komando daripada pasukan Grup Gerak Khas (GGK), Haris Dan, 70, meluahkan bahawa dia bersama anggota lain pernah tidak tidur dan makan ketika berjuang menentang komunis pada 70-an.

"Kami berjuang bermatian-matian dan mempertaruhkan nyawa dalam mempertahankan negara tercinta ini daripada ancaman musuh khususnya komunis. Kawan saya pernah meninggal dunia di depan mata, saat berlawan dengan komunis dahulu, jadi adakah anggota tentera ini hanya tahu makan dan tidur.

"Saya sesekali tidak akan memaafkan ahli perniagaan yang cukup biadab itu. Kita bergadai nyawa dalam menjaga keamanan supaya dia (Yew Yin) boleh cari makan dan menjadi kaya raya di negara tercinta ini," katanya yang bertugas dari 1970 sehingga 1988 kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Kelmarin, Yew Yin dalam laman blog kendaliannya menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Atara yang dibangkitkan Yew Yin menerusi tulisan tersebut adalah dengan menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Selepas mendapat kecaman pelbagai pihak, ahli perniagaan tersebut bagaimanapun menarik balik kenyataannya itu semalam dan memohon maaf khususnya kepada anggota tentera.

Seorang lagi bekas tentera, Abu Samah Osman, 72, dari Batalion Ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berkata, dia juga antara yang terlibat dalam operasi menentang komunis di Gubir, Kedah sekitar 1970-an dalam mempertahankan negara ini.

Katanya, ada rakan-rakan yang gugur dalam pertempuran selain terkena jerangkap samar yang dipasang pihak musuh.

"Saya tinggalkan anak dan isteri untuk jaga keamanan negara dan sepanjang tempoh 21 tahun berkhidmat saya tidak pernah sempat pulang ke kampung halaman untuk beraya dengan ayah. Banyak pengorbanan dilakukan anggota tentera dalam menjaga keamanan negara.

"Bila dia (Yew Yin) cakap begitu, saya cukup-cukup terasa hati dan tidak boleh terima. Walaupun dia minta maaf, saya tidak akan boleh terima kenyataan biadab seperti ini," katanya.

Kadar Bashah Bakarudin, 71, yang bertugas sebagai tentera dari 1970 sehingga 1980 pula berharap agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap ahli perniagaan itu meskipun dia sudah mengemukakan permohonan maaf sebagai pengajaran kepada yang lain.- UTUSAN ONLINE