Sehubungan itu, katanya, mereka sekeluarga memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang kenduri bagi mengantikan majlis perkahwinan anaknya itu yang dirancang, Sabtu ini.

“Persiapan perkahwinan sudah dibatalkan, tiada apa yang perlu dilakukan lagi. Sekarang, kami mahu berehat seketika kerana sudah 20 hari bersama Allahyarham ketika menerima rawatan,” katanya.

Datuk saudaranya, Mohd Shukor Osman,53, pula berkata, segala persiapan perkahwinan Muhammad Adib bersama tunangnya, Nurul Najihah Mohd Rodzi, 25, ditangguhkan sejak anak saudaranya itu dimasukkan ke hospital.

“Kami semua reda dengan pemergian Allahyarham dan biarlah dia bersemadi dengan aman sebagai syahid,” katanya.

Jenazah anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Selangor itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebengau, di sini hari ini.

Dalam kejadian 27 November lalu, Muhammad Adib bersama pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya telah pergi ke kuil berkenaan untuk memadamkan satu kebakaran kereta namun mereka telah diserang oleh sekumpulan perusuh sebelum Muhammad Adib dipukul sehingga mengalami kecederaan parah. - UTUSAN ONLINE