Mereka juga memohon supaya bantuan baik pulih rumah nelayan miskin dan lain-lain insentif untuk membantu nelayan keluar dari kepompong kemiskinan diteruskan.

Seorang nelayan, Razali Sulaiman, 60, berkata nelayan tradisional yang memukat di persekitaran pantai menggunakan sampan kecil bersyukur kerana masih mene­rima ESH ketika mereka hilang punca pendapatan sepanjang musim laut bergelora.

“Dengan wang yang sama kami belanjakan untuk membaiki pukat dan sebahagiannya untuk melunaskan hutang pembelian alatan memukat.

“Jangan tuduh kami miskin kerana pemalas kerana dengan kudrat dalam usia tua itulah sahaja yang mampu dilakukan. Kerja memukat dengan sampan fiber tidak pernah menjanjikan pendapatan yang lumayan,” katanya ketika di sini semalam.

Razali berkata, jika dihitung secara purata, pendapatan harian yang diperolehnya hanya sekitar RM30 hingga RM50 sehari selain terdapat hari tertentu dia pulang tanpa hasil.

Seorang lagi nelayan, Setapa Mat Sin, 62, berkata de­ngan menggunakan bot nelayan pantai Zon A, dia hanya memperoleh pendapatan kasar RM300 sehari dengan modal minyak sahaja sebanyak RM200.

“Paling sedikit kami mendapat pendapatan bersih sebanyak RM100 dan jumlah itu perlu diagihkan pula kepada lima awak-awak yang bekerja di atas bot.

“Itulah hakikatnya yang me­nuntut kami merayu kepada kerajaan supaya menuruskan ESH dengan pendekatan yang mudah tanpa perlu menggunakan kad atau kaedah canggih semata-mata mahu membeli barangan keperluan,” katanya.

Menurut Setapa, para nelayan juga memohon supaya Permit Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PPTMT) dilanjutkan hingga bulan Jun setiap tahun bagi membolehkan mereka memukat udang dengan hasil yang lebih lumayan.

“Lazimnya PPTMT dikeluarkan bermula November hingga April yang membenarkan nelayan kecil menangkap ikan di pesisir pantai.

“Sedangkan bulan November dan Disember kami tidak menjalankan aktiviti menangkap ikan kerana laut bergelora. Jadi kami rugi dua bulan,” katanya.