Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Jabatan Imigresen, Datuk Shahril Ismail berkata, keadaan itu menyebabkan ada kakitangan terpaksa bekerja lebih masa selepas waktu kerja bagi menampung keperluan kawalan ketika itu.

"Daripada taklimat yang diadakan oleh Ketua Imigresen di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) hari ini jumlah kakitangan dimaklumkan memang tidak mencukupi.

"Keadaan itu sehingga menyebabkan ada pegawai yang dipaksa untuk bekerja lebih masa kerana jumlah kakitangan Imigresen sekarang hanya ada seramai 62 orang sahaja di pintu sempadan ini.

"Justeru itu, kita masih dalam perbincangan bagi menambah jumlah kakitangan tersebut kerana kita dalam proses pengambilan pekerja baharu bagi memastikan jumlah tersebut mencukupi terutamanya mengawal keluar masuk PATI melalui pintu ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Pemasangan Pelekat Ambo Saing Imigresen di Kompleks ICQS Rantau Panjang, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE