Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, terdapat 25 lagi dagangan plastik di bawah kod HS 39 yang boleh diimport tanpa memerlukan permit import (AP) yang mana terdapat keperluan untuk syarat-syarat bagi dagangan plastik import itu diperketatkan.

Menurutnya, ini bagi memastikan tiada penyalahgunaan berlaku seperti isu pengisytiharan palsu.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memandang serius masalah penyeludupan dan lambakan sampah haram dari luar negara yang dibawa masuk ke Malaysia.

“Kementerian menyambut baik saranan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk memastikan tiada lagi pengimportan sisa pepejal haram ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sejak tahun lepas, jelas Zuraida, kementerian telah mengetatkan syarat AP bagi pengimportan dagangan skrap plastik di bawah kod HS3915 yang hanya membenarkan skrap plastik bersih dan homogeneous sahaja dibawa masuk untuk tujuan kitar semula serta penghasilan bahan seperti resin plastik bagi keperluan industri.

Pengeluaran AP bagi kod HS3915 tambahnya, adalah dikawal dengan sangat ketat oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) KPKT yang mana terdapat 18 syarat yang perlu dipatuhi dan peruntukkan undang-undang yang tegas.

“Ini termasuk penghantaran pulang bahan yang tidak menepati syarat import ke negara asal dan penarikan semula AP daripada pengimport,” katanya.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, kementerian akan bekerjasama dengan MESTECC , Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) bagi mencari jalan penyelesaian isu lambakan plastik melalui penyeludupan sisa buangan secara haram serta pengisytiharan palsu tidak akan terus berlaku di negara ini.

“Kerajaan juga akan menggunakan saluran perundangan antarabangsa melalui perjanjian Basel Convention bagi membolehkan sisa pepejal haram yang masuk ke Malaysia dapat dipulangkan semula ke negara asal oleh pengeksport,” katanya. - UTUSAN ONLINE