Pengarah (Pentadbiran) Program Kebajikan Khidmat Imigran (PKKI) Peka, Syed Azemmant S.A. Hamid berkata, keputusan mahkamah itu mengejutkan dan Jabatan Peguam Negara perlu mengkajinya walaupun terdapat bukti jelas.

“Mangsa seorang wanita yang dipaksa bekerja selama dua tahun tanpa gaji. Badan wanita itu diganasi jadi mengapa mahkamah menggugurkan kes itu.

“Bukankah sepatutnya keadilan diberikan kepada Adelina yang menjadi mangsa dera?,” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Adelina meninggal dunia kerana kegagalan pelbagai organ selepas didakwa didera majikannya di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang tahun lalu.

Pembantu rumah warga Indonesia itu ditemukan lebam pada bahagian kepala dan muka, cedera di lengan dan kedua-dua belah kaki sehingga bernanah dipercayai ter­kena air panas.

Tidak cukup dengan itu, mang­sa turut didakwa dibiarkan tidur bersama anjing di luar rumah sejak lebih sebulan lalu selain tidak diberikan makanan mencukupi.

Syed Azemmant berkata, ketika kerajaan melancarkan perang terhadap penyeludupan manusia dan buruh paksa, menggugurkan kes itu menunjukkan tiada keadilan untuk mangsa seperti Adelina, yang didakwa didera di tempat kerja.

“Peka sedih dengan laporan ini. Kami tidak dapat bayangkan kesedihan dialami keluarga Adelina,” katanya. - UTUSAN ONLINE