Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, langkah itu diambil berikutan Thailand dilaporkan masih belum bersedia untuk melanjutkan tempoh operasi di pintu masuk sempadan negara berkenaan.

“Kita (kerajaan Malaysia) perlu lihat kesediaan negara Thailand untuk melaksanakan operasi 24 jam setiap hari di pintu sempadan kerana tidak guna sekiranya kita beroperasi 24 jam setiap hari tetapi di pihak Thailand ditutup.

“Pada masa sekarang, pintu sempadan di kompleks ICQS ini beroperasi seperti biasa selama 18 jam setiap hari sehinggalah kerajaan Thailand bersedia membuka pintu sempadan mereka 24 jam,” katanya selepas mengadakan lawatan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Azis, pihaknya bagaimanapun akan mengadakan beberapa rundingan dengan Thailand berhubung cadangan melanjutkan waktu operasi kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam kepada 24 jam.

“Thailand masih belum bersedia beroperasi 24 jam berikutan kompleks ICQS di pintu sempadan negara berkenaan masih belum siap sepenuhnya.

“Pada masa sama, mereka mungkin mahu mengkaji dari segi manfaat yang bakal diperoleh menerusi usaha membuka pintu sempadan 24 jam,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pembinaan fasa kedua Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam yang menelan kos RM133 juta itu kini telah siap 70 peratus.

“Pembinaan fasa kedua ini mendahului jadual kemajuan projek sebanyak 10 peratus. Kompleks yang akan digunakan hampir 350,000 orang pengguna sebulan ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2019,” katanya.-UTUSAN ONLINE