BARJOYAI BARDAI

Walau bagaimanapun, peng­analisis ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Baayah Baba berkata, mekanisme perlu dikaji supaya penerima dapat memanfaatkan pemberian tersebut mengikut keperluan dan diberikan kepada pihak yang benar-benar layak.

Selain itu katanya, pemberian BR1M juga dapat menjana ekonomi negara melalui peningkatan perbelanjaan rakyat.

“Ia satu keputusan tepat dan BR1M perlu dikekalkan. Mungkin kerajaan boleh fikirkan meka­nisme terbaik untuk mereka manfaatkan pemberian tersebut. Sebagai contoh, separuh pemberian BR1M mungkin boleh diberikan dalam bentuk kupon manakala separuh lagi dalam bentuk wang tunai.

“Selain itu, BR1M juga sebenarnya boleh dijadikan se­bagai sebahagian simpanan kepada rakyat untuk keperluan lain seperti pembayaran yuran sekolah anak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baayah Baba
BAAYAH BABA

Beliau mengulas keputusan Perdana Menteri, Tun Dr, Mahathir Mohamad yang bersetuju meneruskan pemberian BR1M yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini bagi meringankan kos hidup golongan berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, BR1M ibarat ‘pelampung’ kepada rakyat dalam menguruskan perbelanjaan dan kos sara hidup.

Katanya, ia juga menjadi pelengkap kepada golongan B40 dalam aspek keperluan asas dan membantu dalam ada jua keadaan terutama selepas berlaku peningkatan harga barangan.

“Namun jika kerajaan Pakatan Harapan ada program terbaik untuk menggantikan BR1M mungkin ia antara perkara yang perlu dipertimbangkan supaya ia memberi impak pada semua,” ujarnya.