Menteri Pembangunan Wani­ta, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kajian yang sedang dilaksanakan mengambil kira aspek perundangan dan sosial.

“Sebagai contoh, sekiranya peng­haraman penuh dikuatkuasakan dan terdapat kes kanak-kanak yang berkahwin, perkahwinan tersebut tidak dapat di­daftarkan.

“Kanak-kanak tersebut terutamanya kanak-kanak perempuan tidak akan mempunyai perlindungan di bawah undang-undang bagi keganasan rumah tangga, hak untuk nafkah, harta sepencarian dan sebagainya,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Sena­tor Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah yang meminta kerajaan menyatakan langkah mengekang rakyat daripada terlibat dengan perkahwinan melibatkan kanak-kanak.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi Jabatan Kehakiman Syariah telah menggubal garis panduan untuk memperketatkan kelulusan permohonan perkahwinan bawah umur supaya wajib mengambil kira kepentingan kanak-kanak yang terlibat dari aspek kesihatan, pendidikan dan sosioekonomi.

Kata beliau, langkah itu berikutan buat masa ini, perkahwinan bawah umur dibenarkan dari segi perundangan bagi perkahwinan dalam kalangan Muslim dan bukan Muslim serta mengikut adat.

Selain itu, beliau membe­ritahu, kementeriannya sedang merancang beberapa siri rundi­ngan untuk menetapkan had umur perkahwinan.

“Bagi perkahwinan Muslim, perjumpaan bersama Jabatan Pe­guam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah dan Majlis Agama Islam setiap negeri, untuk perkahwinan adat pribumi di Sabah dan Sarawak, perjumpaan bersama wakil adat dan Majlis Adat Sabah dan Sarawak.

“Bagi perkahwinan bukan Is­lam, perjumpaan bersama Ja­batan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Peguam Negara dan wakil-wakil agama manakala untuk perkahwinan adat Orang Asli, perbincangan lanjut bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” katanya.

Sementara itu, Wan Azizah Wan menerima kunjungan hormat Menteri Luar Sri Lanka, Tilak Marapana di pejabatnya di bangunan Parlimen.

Delegasi seramai tujuh orang itu turut disertai Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Majintha Jayesinghe.

Pertemuan ringkas tertutup selama 20 minit itu antara lain membincangkan mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dan Sri Lanka.

Terdahulu, Wan Azizah tu­rut menerima kunjungan daripada delegasi Duta Palestin ke Ma­laysia yang diketuai Dr. Anwar Al Agha.