Pengerusi Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, langkah itu bukan sahaja dapat mengatasi masalah sindiket menawarkan perkhidmatan menyiapkan tugasan akademik malah diyakini melonjakkan kemampuan mahasiswa untuk berhadapan dengan industri.

“Ini sekali gus dapat mengurangkan masalah kekurangan pekerja mahir dalam tempoh jangka panjang dan memberi peluang pensyarah menilai pelajar dengan adil,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan me­ngenai jenayah akademik sehingga sanggup mengupah pihak ketiga bagi menyiapkan laporan universiti hingga selesai.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa menganggap mahasiswa yang mengguna dan menawarkan perkhidmatan menyiapkan tugasan sebagai mereka yang tidak mempunyai nilai dan pentingkan diri sendiri.

“Mereka bukan sahaja tidak bertanggungjawab bahkan mem­­­­bazir masa, tenaga dan wang yang dilaburkan untuk mendapat segulung ijazah kerana ilmu itu disia-siakan.

“Ini satu kerugian kepada negara kerana memiliki mahasiswa yang pentingkan diri dengan mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan jangka panjang,” katanya.

Zambri memberitahu, perkara tersebut tidak akan berlaku jika tiada pihak yang menawarkan keperluan yang sentiasa diinginkan oleh mahasiswa.