Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, umat Islam negara ini tidak perlu risau dengan perkara itu memandangkan ia hanya melibatkan mereka yang ingin melaksa­nakan ibadah itu untuk kali kedua.

Menurut beliau, pihaknya akur dengan garis panduan yang ditetapkan kerajaan negara itu yang dijangka akan mula dikuat­kuasakan pada tahun depan untuk ibadah haji sebagai satu kaedah bagi mengelak limpahan jemaah pada satu-satu masa.

“Itu hak kerajaan Arab Saudi dan kita akur. Apa yang pen­ting keakraban kepimpinan Arab Saudi dan Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain Tabung Haji diiktiraf oleh negara terbabit.

“Saya fikir kerajaan Arab Saudi telah teliti apa tindakan yang dilakukan termasuk turut dikenakan kepada negara lain dan kita akan mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi waris petugas Tabung Haji, Allahyarham Sajari Sawi yang meninggal dunia di tanah suci pada 14 September lalu akibat serangan jantung.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah dan Ahli Lembaga Pengarah, Tan Sri Shuk­ry Mohd. Salleh.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya akan menghubungi semua ejen pelanco­ngan yang mengendalikan haji dan umrah berdaftar di bawah Tabung Haji untuk menguar-uarkan mengenai kadar baharu itu yang akan dibuat pihaknya selepas musim haji selesai pada tahun ini.

“Kita jangka caj baharu visa ini akan dilaksanakan November ini untuk umrah manakala haji pada tahun depan. Walau apa sekalipun, kerjasama erat antara Malaysia dengan Arab Saudi akan diteruskan bagi memastikan jemaah dapat memperoleh manfaat,” katanya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai pampasan RM1 juta yang dijanjikan kerajaan Arab Saudi terhadap waris yang me­ninggal akibat kren yang terjatuh di Mekah dua tahun lalu, beliau yakin kerajaan negara itu akan menunaikan janji berkenaan, namun memerlukan sedikit masa untuk tujuan penyelarasan.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan, insurans dan khairat kematian kepada balu Allahyarham, Faridah Harun sebagai menghargai jasa Allahyarham berkhidmat dengan Tabung Haji selama 31 tahun.