Bakteria ‘rhizosfera’ dan ‘endophyte’ adalah sebahagian kandungan penting dalam tanah di daerah Cilembu, Jawa Barat yang iaitu tempat penanaman ubi keledek paling manis di Indonesia.

Pengerusi KADA, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya meminta khidmat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengenalpasti kedua-dua jenis bakteria tersebut yang dipercayai menjadi faktor ubi keledek lebih manis dan berkualiti sekali gus membantu meningkatkan pendapatan petani.

“Kita bercadang bawa dua jenis bakteria ini untuk hasilkan ubi keledek atau ‘ubi stelo’ dalam dialek Kelantan yang manis dan berkualiti.

“Setakat ini tidak ramai petani yang menanam ubi, kita mahu tingkatkan pendapatan petani kita khususnya di kawasan Bachok yang terlibat dengan penanaman ubi keledek dan Mardi boleh bantu kita,” katanya selepas merasmikan Seminar Teknikal MARDI - KADA di Auditorium KADA di Lundang hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor dan Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Seminar sehari julung kali itu bagi berkongsi teknologi pertanian di bawah MARDI kepada pegawai dan ejen pengembangan KADA untuk disampaikan kepada petani dan usahawan.

Sementara itu, Mohamad Roff berkata, pihaknya akan bekerjasama Institut Teknologi Bandung (ITB) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bakteria ‘rhizosfera’ dan ‘endophyte’ dan percaya ia juga wujud dalam persekitaran negara ini.

“Kita cuma perlu tahu spesies dia dengan tepat, kita boleh cari dalam persekitaran di Malaysia ini, memang ada, yang pertama sekali kita perlu berkomunikasi dengan Indonesia dan dapatkan nama spesies itu dalam persekitaran kita, bila kita dapat senang kita boleh biakkan dia,”katanya.

Terdahulu, Husam dalam ucapannya berkata, tempat asal ubi keledek paling manis di dunia adalah di Indonesia walaupun ubi keledek manis Jepun lebih popular di pasaran.

“Semasa Perang Dunia Kedua,askar Jepun di Bandung, Indonesia bawa pulang ubi keledek Indonesia ke Jepun dan tanam dengan baik sehingga sekarang orang anggap ubi keledek manis negara itu sebagai yang paling manis di dunia dan dijual dengan mahal di pasaran padahal ubi keledek yang paling manis adalah di tempat asalnya di Cilembu, Bandung, Indonesia.

“Tetapi ubi ini manis bukan kerana bakanya semata-mata tetapi kerana ada dua bakteria ‘baik’ iaitu rhizosfera’ dan ‘endophyte’ yang begitu banyak dalam kandungan tanah di Cilembu menyebabkan ubi yang ditanam di sana tanpa mengira jenis menjadi manis dan semacam ada lapisan madu,” katanya. - UTUSAN ONLINE